Thursday, January 28, 2010

Kisah dua sahabat ...

Terdapat sebuah kapal karam di tengah laut kerana dipukul badai dan ombak hebat. Hanya dua orang lelaki yang berjaya menyelamatkan diri dan berenang ke sebuah pulau kecil yang gersang. Dua orang yang selamat itu tak tahu apa yang harus dilakukan.

Namun, mereka berdua yakin bahwa tidak ada yang dapat dilakukan kecuali berdoa. Untuk mengetahui doa siapakah yang paling dikabulkan, mereka sepakat untuk membahagikan pulau kecil itu menjadi dua wilayah. Dan mereka tinggal sendiri sendiri berseberangan di dua sisi pulau tersebut.

Doa pertama mereka panjatkan, mereka memohon agar diturunkan makanan. Esok harinya, lelaki A melihat sebuah pohon penuh dengan buah-buahan tumbuh di sisi tempat tinggalnya. Sedangkan di daerah tempat tinggal lelaki B tetap kosong. Seminggu kemudian, lelaki yang ke satu merasa kesepian dan memutuskan untuk berdoa agar diberikan seorang isteri. Keesokan harinya, ada kapal yang karam dan satu-satunya penumpang yang selamat adalah seorang wanita yang berenang dan terdampar di sisi tempat lelaki A itu tinggal.

Sedangkan di sisi tempat tinggal lelaki B tetap saja tidak ada apa-apa. Segera saja, lelaki ke satu ini berdoa memohon rumah, pakaian dan makanan. Keesokan harinya, seperti keajaiban saja, semua yang diminta hadir untuknya. Sedangkan lelaki B tetap saja tidak mendapatkan apa-apa. Akhirnya, lelaki ke satu ini berdoa meminta kapal agar dia dan isterinya dapat meninggalkan pulau itu.

Pagi harinya mereka menemukan sebuah kapal tertambat disisi pantainya. Segera saja lelaki A tersebut dan isterinya naik ke atas kapal dan siap-siap untuk berlayar meninggalkan pulau itu. Ia pun memutuskan untuk meninggalkan lelaki B yang tinggal di sisi lain pulau.
Menurutnya, memang lelaki kedua itu tidak layak menerima barkah tersebut kerana doa-doanya tak pernah terkabulkan. Begitu kapal siap berangkat, lelaki A ini mendengar suara dari langit menggema, "Hai, mengapa engkau meninggalkan rakanmu yang ada di sisi lain pulau ini?
"Barkahku hanyalah milikku sendiri, kerana hanya doa akulah yang dikabulkan," jawab lelaki A ini. "Doa lelaki temanku itu tak satupun dikabulkan. Maka, ia tak layak mendapatkan apa-apa."

"Kau salah ! " suara itu membentak tinggi

"Tahukah kau bahwa rakanmu itu hanya memiliki satu doa. Dan, semua doanya terkabulkan. Bila tidak, maka kau takkan mendapatkan apa-apa. "

"Katakan padaku " tanya lelaki A itu.

"Doa macam apa yang ia panjatkan sehingga saya harus merasa berhutang atas semua ini padanya? "

" Ia berdoa agar semua doamu dikabulkan! "

Renungan:
Kesombongan macam apakah yang membuat kita merasa lebih baik dari yang lain ? Sedarilah betapa banyak orang yang telah mengorbankan segala sesuatu demi kejayaan dan kebahagian kita. Tak selayaknya kita mengabaikan peranan orang lain, dan janganlah menilai seseorang/sesuatu Hanya dari "yang terlihat" saja.

Tuesday, January 19, 2010

Rancangan Pengajaran Harian

Guru perlu membuat perancangan bagi melancarkan proses pengajarannya. Perancangan yang telti dapat memastikan proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan dapat mencapai objektif yang telah ditetapkan oleh seseorang guru itu. Perancangan yang teliti dan komprehensif akan memberi impak yang positif kepada pembelajaran pelajar.
Perancangan yang telah disediakan juga akan dapat memastikan setiap minit dalam tempoh pengajaran guru yang berlaku sepanjang tahun memberi kesan yang bermakna kepada guru dan murid.Isi kandungan dan bahan yang hendak disampaikan oleh guru semasa proses pembelajaran dan pembelajaran perlulah lengkap dan menepati kehendak sukatan dan huraian sukatan pelajaran yang telah ditentukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
Melalui perancangan teliti yang telah dilakukan guru dapat menentukan jarak, urutan dan penekanan yang perlu dilakukan kepada isi matapelajaran yang hendak disampaikan nanti.Selain itu,penyediaan Rekod Pengajaran dan Pembelajaran yang dibuat oleh guru perlulah memenuhi dan mematuhi kehendak Kementerian Pelajaran Malaysia. Menurut Pekeliling Ikhtisas Bil.3/1999, guru perlu menyediakan Rancangan Kerja Tahunan dan Rancangan Mengajar Harian.Rancangan yang disediakan oleh guru akan menjadi rujukan tersendiri kepada dirinya serta menjadi garis panduan kepada guru yang akan menggantikannya dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran.

Objektif Rancangan Pengajaran
• Membantu guru untuk merancang pengajarannya secara lebih sistematik dan teratur serta memenuhi kehendak sukatan pelajaran dan huraian sukatan matapelajaran yang telah ditentukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
• Membolehkan guru untuk menentukan pendekatan,strategi,kaedah dan teknik pengajaran yang sesuai dengan objektif yang telah ditetapkan.
• Membantu guru untuk memilih bahan dan sumber serta aktiviti yang sesuai dengan topik yang hendak diajar.
• Memastikan proses pengajaran menjadi lebih sistematik dan berkesan.
• Memberi semangat dan kekuatan kepada guru-guru untuk melakukan sesi pengajaran dan pembelajaran dengan baik terutamanya kepada guru-guru baru.
• Memastikan isi pelajaran yang diajar oleh guru tidak menyalahi sukatan pelajaran yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
• Memudahkan guru ganti untuk meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran sesebuah kelas.
• Menjadi dokumen rasmi yang akan menjadi rujukan dan semakan oleh pihak pengurusan sekolah,jemaah nazir dan pegawai-pegawai jabatan pendidikan dan kementerian pendidikan.

Pada akhir pembelajaran dan pengajaran murid dapat bertutur dengan sebutan dan intonasi yang betul dan lancar serta memahami perkara yang dibaca. Murid juga berjaya mengisi tempat kosong dengan perkataan yang sesuai dan betul. Aktiviti pengayaan telah memantapkan murid dalam membina ayat berdasarkan bahan rangsangan yang diberikan.
Sebagai kesimpulannya, rancangan pengajaran harian perlu dilaksanakan oleh semua guru bagi memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang hendak dilakukan semasa berada di dalam kelas. Rancangan pengajaran sebaiknya disediakan sehari sebelum sesi P&P dilaksanakan.Ini bagi memastikan guru jelas tentang tujuan sesebuah sesi pengajaran dilaksanakan.

Mendidik Anak Dengan Cinta

“Kenape Abdullah picit dakwat tu? Kan dah tumpah dah.”
“Minta maaf ummi, Abdullah tak sengaja.”
“Ummi nak marah Abdullah boleh? Tadikan ummi dah cakap jangan main dengan dakwat tu.”
“Sekarang ni kemas balik. Abdullah yang tumpahkan, lap balik sampai bersih.”
“Ok, Abdullah lap”
“tak boleh la, ummi, tak boleh la. Abdullah tak pandai, ummi buat lah”
“Kan Abdullah yang tumpah kan tadi?, Abdullah la yang kene lap. Siape yang tumpahkan die kene lap. Mari sini ummi tunjukkan.”

Biasanya ibu bapa lebih mudah memarahi anak dan melarang mereka dari meneroka dunia sekeliling mereka kerana itu lebih mudah buat kedua ibu bapa. Anda bagaimana?
Apakah anda ingin mendidik anak dengan cara yang mudah atau cara yang berkesan?
Orang yang ingin mendidik anak dengan mudah lebih suka anak mereka menjadi anak yang selalu duduk diam sahaja, menurut kata2 kedua ibubapa dengan perasaan takut. Apabila anak melakukan kesilapan, hukum mereka supaya mereka tahu apa yang mereka buat itu akan menyebabkan mereka dihukum, jadi mereka takkan mengulangi perbuatan itu lagi.
Maka lahirlah anak yang tidak melakukan perbuatan yang dilarang kerana takut akan hukuman dan ancaman dari kedua ibubapa. Diluar dari lingkungan ibubapa mereka pun bermaharaja lela berbuat sesuka hati.
Atau kebarangkalian lain, lahirlah anak yang selalu memberontak kerana mereka belajar bahawa cara untuk menyuruh orang lain melakukan apa mereka inginkan adalah dengan cara memarahi mereka, sama seperti yang dilakukan kepada mereka.
Seorang anak belajar bagaimana bertindak dengan orang sekelilingnya adalah daripada bagaimana orang sekelilingnya memperlakukan dirinya. Seorang anak yang selalu dimarahi akan belajar bahawa untuk mendapatkan sesuatu dia juga perlu memarahi orang lain. Seorang anak yang selalu dimanjai akan belajar bahawa untuk mendapatkan sesuatu dia tidak perlu berusaha apa-apa. Dan begitulah seterusnya.
Bagaimana mendidik anak agar menjadi matang sebelum usia mereka? Layanlah mereka seperti anda melayan seorang dewasa yang belum mengerti apa-apa.
Bagaimana kita berhadapan dengan seorang kawan yang menumpahkan dakwat di atas meja kita? Terus memarahi dan mencubit mereka? Apakah logik dari perbuatan itu yang ingin kita tanamkan pada seorang anak?
Seorang anak kecil belum lagi mahir mengawal saraf otot mereka dengan baik. Disebabkan itu, pergerakan mereka tak selancar orang dewasa. Air tertumpah, barangan terjatuh, alatan-alatan yang pecah dan sebagainya akan sering menjadi sebahagian dari jadual sehariannya. Kita yang dewasa pun kadang-kala secara tidak sengaja memecahkan barangan rumah, apatahlagi mereka.
Seorang anak kecil mempunyai perasaan ingin tahu yang membuak-buak. Disebabkan perasaan inilah mereka dapat berkembang dengan pesat, belajar dengan pantas dan menguasai ilmu kehidupan. Semua yang berada di sekeliling mereka menimbulkan tanda tanya.
“Ummi, tu ape tu yang hitam tu?”
“Ummi kenape ikan tu duduk dalam air?”
“Abi kenape abi solat?”
Menghalang mereka daripada meneroka alam disekitar mereka bererti menghalang suatu kehendak yang membuak-buak dari dalam jiwa mereka. Untuk lebih mudah difahami lagi, ianya bagaikan menghalang seorang yang lapar dari makan dan seorang yang mengantuk dari tidur.
“Tapi kalau tak halang, habislah bersepah rumah. Berteraburlah semua barangan. Tak larat lah asyik nak kene kemas rumah jer.”
Dalam soal ini, kene bijak lah dalam mengaturkannya. Banyak penyelesaian yang ada, antaranya ialah :
1.Mengajarkan mereka agar bertanggung jawab mengemaskan kembali barangan yang telah dia sepahkan. Anda boleh menjadikan mengemas itu satu perbuatan yang seolah-olahnya sangat menyeronokkan. Boleh juga memberikan syarat kepada mereka kalau nak main kene kemas balik selepas habis main. Menyediakan satu ruang khusus untuk mereka bermain juga satu kelebihan.
2.Sediakan barangan permainan yang mencukupi buat mereka. Maka mereka tak perlu bereksperimen dengan barangan kita yang lain yang lebih berharga. Tapi biasanya anak lebih berminat dengan barangan dia selalu lihat kita gunakan. Ingat mereka sebenarnya ingin belajar dan bereksperimen bukan sekadar bermain. Dia ingin merasai pengalaman membuat semuanya. Dia ingin mengetahui cara melakukan semua perkara.
3.Bermain bersama mereka akan mengubah suatu permainan yang membosankan menjadi sangat menarik. Anak sangat suka apa pun jenis permainan yang dimainkan bersama orang yang dia sayangi.
Anak yang dipenuhi kehendak perasaan ingin tahu mereka akan menjadi anak yang cepat matang. Anak yang cepat matang akan mudah menerima pelajaran. Anak yang mudah menerima pelajaran, akan sekaligus kurang merosakkan barangan dan kurang menyepahkan. Malah andai mereka diajar bertanggung jawab, mereka akan menjadi pembantu anda yang sangat baik.
Jadi, biarkan mereka bereksperimen. Biar kita susah sebentar, biar kita susah dalam usaha mereka untuk menjadi matang, biar kita susah sekarang, asalkan anak kita lebih cepat menjadi anak yang bijak dan akhirnya dapat menjadi pembantu, bukan lagi penyusah.
Sebab itu pepatah melayu mengatakan bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Anak yang dididik secara ambil mudah oleh kedua ibubapa, memanglah masa kecil mereka lebih mudah kita jaga (bukan didik), tetapi apabila sampai waktu besar, sangat menyusahkan kedua ibubapa, selalu memberontak, selalu mengamuk, tidak mendengar kata, bertindak kasar, dan sebagainya. Ataupun kita bersusah payah memerhatikan pelajaran-pelajaran mereka dengan perasaan redha dan cinta, membimbing mereka dengan lemah-lembut dan kasih sayang, agar mereka nantinya juga menjadi seorang yang lemah lembut dan penuh cinta juga, hasil dari pelajaran yang mereka dapat dari orang di sekeliling mereka.